Abul-Laits berkata: "Telah menerangkan
kepada kami Muhammad bin Alfadhel bin Ahnaf berkata: "Telah menerang
kepada kami Muhammad bin Ja'far Alkaraabisi ia berkata : "Telah menerang
kepada kami Ibrahim bin Yusuf ia berkata: "telah menerang kepada kami
Ismail bin Ja'far, dari Amr Maula Almuththalib dari Ashim dan Muhammad
bin Labied berkata: Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda yang bermaksud:
"Yang sangat saya kuatirkan atas kamu ialah syirik yang terkecil."
Sahabat bertanya: "Ya Rasullullah, apakah syirik yang kecil itu?" Nabi
Muhammad s.a.w. menjawab: "Riyaa. Pada hari pembalasan kelak Allah
s.w.t. berkata kepada mereka : "Pergilah kamu kepada orang-orang yang
dahulu kamu beramal kerana mereka didunia, lihatlah disana kalau-kalau
kamu mendapatkan kebaikan dari mereka."
Riyaa ialah
beramal untuk dilihat orang, dipuji dilihat orang, Abul Laits berkata:
"Dikatakan pada mereka sedemikian itu kerana amal perbuatan mereka
ketika didunia secara tipuan, maka dibalas demikian."
Firman Allah s.w.t.: Yukhaa di'unnallah wahuwa khaa di'uhum.
Allah s.w.t.
membalas cara tipuan mereka itu dan membatalkan semua amal perbuatan
mereka itu, kerana kamu dahulu tidak beramal untukKu maka pembalasan
amalmu itu tidak ada padaKu, sebab tiap amal yang tidak ikhlas kepada
Allah s.w.t., maka tidak sampai kepadaNya, kerana itu tiap amal yang
dikerjakan tidak kerana Allah s.w.t. dan kerana lainnya, maka Allah
s.w.t. lepas tangan daripadanya.
Abul Laits
meriwayatkan dengan sanadnya dari Abu Hurairah r.a. berkata, dari Nabi
Muhammad s.a.w. telah bersabda yang bermaksud: "Allah s.w.t. telah
berfirman: ' Akulah yang terkaya dari semua sekutu, Aku tidak berhajat
kepada amal yang dipersekutukan yang lain-lain, maka siapa beramal lalu
mempersekutukan kepada lain-lainKu, maka Aku lepas bebas dari amal itu."
Hadis ini
sebagai dalil bahawa Allah s.w.t. tidak menerima amal kecuali yang
ikhlas kepada Allah s.w.t., maka jika tidak ikhlas, tidak diterima dan
tidak ada pahalanya, bahkan tempatnya tetap dalam neraka jahannam,
sebagaimana tersebut dalam ayat 18 surah Al-Israa:
Man kana
yuriidul aa-jilat ajjalna lahu fiha maa nasyaa'u liman nuridu, tsumma
ja'alna lahu jahannam yash laaha madzmuman mad-hura (18). Wa man aradal
akhirota wa sa'a laha sa'yaha wa huwa mu'minun, fa ulaa'ika kaana
sa'yuhum masy-kuura. (19). Kullan numiddu haa ulaa'i, wahaa ulaa'i
athaa'i robbika, wama kaana athaa'u robbika mah-dzuura (20).
Bermaksud:
Siapa yang menginginkan dunia dengan amalnya, Kami berikan kepadanya
dari kekayaan dunia bagi siapa Kami kehendaki kebinasaannya, kemudia
Kami masukkan ia kedalam neraka jahannam sebagai orang terhina dan
terusir jauh dari rahmat Allah (18). Dan siapa yang menginginkan akhirat
dan berusaha dengan bersungguh-sungguh dan ikhlas, dan disertai iman,
maka usaha amal mereka itulah yang terpuji (diterima) (19).
Masing-masing dari dua golongan Kami beri rezki, dan pemberian Tuhanmu
tidak terhalang, baik terhadap mukmin, kafir, berbakti maupun lacur
(20).
Dari ayat
keterangan ini nyatalah bahawa yang beramal kerana Allah s.w.t. maka
akan diterima sedang yang beramal tidak kerana Allah s.w.t. tidak akan
diterima dan hanya lelah dan susah semata-mata, sebagimana dinyatakan
dalam hadis: Abu Hurairah r.a berkata bahawa Nabi Muhammad s.a.w. telah
bersabda: "Rubba sha'imin laisa lahu hadhdhun min shaumihi illal ju'a
wal athsy wa rubba qaai'min laisa lahu hadhdhun min qiyamihi illal-sahar
wannashabu. Maksudnya: Adakalanya orang puasa dan tidak mendapat
apa-apa dari puasanya kecuali lapar dan haus, dan ada kalanya orang
bangun malam dan tidak mendapat apa-apa dari bangunnya kecuali tidak
tidur semata-mata, yakni tidak mendapat pahala dari amalnya.
Seorang
ahli hikmah berkata: "Contoh orang yang beramal dengan riyaa' atau
sum'ah itu bagaikan orang yang keluar kepasar dan mengisi poketnya
dengan batu, sehinggakan orang melihat poketnya semua berasa kagum dan
berkata: "Alangkah penuhnya poket wang orang itu.", tetapi sebenarnya
dia sama sekali tidak berguna sebab tidak dapat dibeli apa-apa tetapi
hanya sekadar mendapat pujian orang sahaja. Demikianlah pula orang yang
beramal dengan riyaa' sum'ah, tidak ada pahalanya diakirat kelak."
Sebagaimana
firman Allah s.w.t.: "Wa qadimna ila amilu min faja'alnahu habaa'an
mantsuura." yang bermaksud: "Dan Kami periksa semua amal perbuatan
mereka, lalu Kami jadikan debu yang berhamburan."
Waki'
meriwayatkan dari Sufyan Atstsauri dari orang yang mendengar Mujahid
berkata: "Seorang datang kepada Nabi Muhammad s.a.w. dan berkata: Ya
Rasullullah, saya bersedekah mengharapkan kerihdaan Allah s.w.t. dan
ingin juga disebut dengan baik." Maka turunlah ayat 111 surah al-Kahfi:
"Faman kaana yarju liqaa'a rabbihi fal ya'mal amalan shaliha, walaa
yusyrik bi ibadati rabbihi ahada. yang bermaksud: "Maka siapa yang
benar-benar mengharap akan bertemu dengan Tuhannya, maka hendaklah
berbuat amal yang baik, dan jangan mempersekutukan Allah dalam semua
ibadatnya dengan sesiapa."
Seorang
pujangga berkata: "Siapa yang berbuat tuju tanpa tuju tidak berguna
perbuatannya. Siapa yang takut tanpa hati-hati, maka tidak berguna takut
itu, seperti berkata: "Saya takut kepada siksaan Allah s.w.t. tetapi
tidak berhati-hati dari dosa, maka tidak berguna takutnya itu. Siapa
yang mengharapkan tanpa amal seperti mengharapkan pahala dari Allah
s.w.t. tetapi tidak beramal, maka tidak berguna harapannya itu. Siapa
yang niat tanpa perlaksanaan, niat yang berbuat kebaikan tetapi tidak
melaksanakan akan tidak berguna niatnya itu. Siaoa berdoa tanpa usaha,
seperti berdoa semoga mendapat taufiq untuk kebaikan, tetapi tidak
berusaha untuk kebaikan. Siapa yang beristigfar tanpa penyesalan, maka
tidak akan berguna istigfarnya itu. Siapa yang tidak menyesuaikan lahir
dengan batiniahnya, seperti lahirnya untuk berbuat kebaikan tetapi hati
tidak ikhlas. Siapa yang amal tanpa ikhlas maka tidak akan berguna amal
perbuatannya.
Abu Hurairah
berkata: Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud: "Akan keluar pada
akhir zaman suatu kaum (golongan) yang mencari dunia dengan menjual
agama, memakai pakaian bulu domba, lidah mereka lebih manis dari madu
sedang hati mereka bagaikan serigala. Allah akan berfirman kepada
mereka: Apakah terhadapKu mereka bermain-main dan melawan, dengan
kebesaran-Ku, Aku bersumpah akan menurunkan kepada mereka futnah ujian
bala sehingga seorang yang berakal tenang akan bingung."
Waki'
meriwayatkan dari Sufyan dari Habib dari Abi Salih berkata: Seorang
datang kepada Nabi Muhammad s.a.w. dan berkata: "Ya, Rasullullah, saya
berbuat suatu amal yang saya sembunyikan kemudian diketahui orang, maka
saya merasa senang, apakah masih mendapat pahala? Jawab Nabi Muhammad
s.a.w.: "Ya. bagimu pahala rahasia dan terang."
Abul-Laits
berkata: "Diketahui orang sehingga ditiru, maka ia mendapat pahala
kerana beramal dan mendapat pahala kerana ditiru orang." Sebagaimana
sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Siapa yang memberi contoh
kebaikan, maka ia mendapat pahala dan pahala orang-orang yang meniru
perbuatannya hingga hari qiamat, dan siapa yang memberi contoh kejahatan
maka ia mendapat dosa dan dosa orang-orang yang meniru perbuatannya
hingga hari qiamat."
Abdullah bin
Almubarak meriwayatkan dari Abubakar bin Maryam dari Dhomiroh dari Abu
Habib berkata: Rasullullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Adakalanya
para Malaikat membawa amal seorang hamda dan mereka anggap banyak dan
mereka menyanjungnya sehingga sampai kehadrat Allah, maka Allah
berfirman kepada mereka: Kamu hanya mencatat amal hambuku, sedang Aku
mengawasi isi dan niat hatinya, hambaku ii tidak ikhlas kepadaKu dan
amalnya, maka catatlah dalam sijjin, dan ada kalanya membawa naik amal
hamba lalu mereka menganggap sedikit dan kecil sehingga sampai kehadapan
Allah, maka Allah berfirman kepada para Malaikat: Kamu mencatat amal
perbuatan hambaKu dan Aku mengawasi isi hati dan niatnya, orang ini
benar-benar ikhlas dalam amal perbuatannya kepadaKu, catatlah amalnya
itu dalam illiyin."
Dengan ini
nyatalah bahawa amal yang sedikit dengan ikhlas lebih baik daripada yang
banyak jika tidak ikhlas, sebab amal yang diterima oleh Allah s.w.t.
dilipat gandakan pahalanya. Adapun yang tidak ikhlas maka tidak ada
pahalanya, bahkan tempatnya dalam neraka jahannam.
Abu-Laits
berkata: Saya telah diceritakan oleh beberapa ulama dengan sanad mereka
yang langsung dari Uqbah bin Muslim dari Samir Al-ash-bahi berkata:
"Bahawa ia ketika masuk kekota Madinah melihat seorang yang dikerumuni
oleh orang ramai, lalu saya bertanya: "Siapakah orang itu?" Jawab
orang-orang: "Itu Abu Hurairah r.a.". Maka saya mendekati kepadanyadan
ketika tiada lagio orang ramai disitu, saya pun bertanya kepadanya:
"Saya tuntut engkau demi Allah, ceritakan kepadaku satu hadis yang telah
kau dengar dan kau ingat langsung daripada Rasullullah s.a.w." Abu
Hurairah r.a. berkata: "Duduklah, akan saya ceritakan kepadamu hadis
yang saya sendiri mendengar dari Rasullullah s.a.w. yang waktu itu tiada
orang lain bersama kami." Kemudian Abu Hurairah r.a. pun menarik nafas
yang berat lalu pingsan, kemudian setelah sedar dari pingsan itu dia pun
mengusapkan mukanya sambil berkata: "Akan aku ceritakan hadis
Rasullullah s.a.w. .", kemudian dia menarik safas yang berat lagi dan
pingsan semula. Agak lama kemudian dia sedar dan mengusapkan mukanya
lalu berkata : Rasullullah s.a.w. telah bersabda: "Apabila hari kiamat
kelak maka Allah s.w.t. akan menghukum diantara semua makhluk dan semua
ummat bertekuk lutut, dan pertama yang dipanggil ialah orang yang
menerti al-Quran, dan orang yang mati fisabilillah, dan orang kaya. Maka
Allah s.w.t. menanyakan kepada orang yang pandai al-Quran: Tidakkah Aku
telah mengajar kepadamu apa yang Aku turunkan kepada utusanKu? Jawab
orang itu: Benar, ya Tuhanku. lalu kau berbuat apa terhadap apa yang
telah engkau ketahui itu? Jawabnya: Saya telah mempelajarinya diwaktu
malam dan mengerjakannya diwaktu siang. Firman Allah s.w.t. : Dusta kau.
Lalu malaikat juga berkata: Dusta kau, sebaliknya kau hanya ingin
disebut qari, ahli dalam al-Quran, dan sudah disebut yang demikian itu.
Lalu dipanggil orang kaya dan ditanya: Engkau berbuat apa terhadap harta
yang Aku berikan kepada kamu? Jawabnya: Saya telah menggunakan untuk
membantu kaum keluarga dan bersedekah. Dijawab Allah s.w.t. :Dusta kau.
Para malaikat pun berkata: Dusta kau, kau berbuat begitu hanya kerana
ingin disebut sebagai seorang dermawan, dan sudah terkenal sedemikian.
Lalu dihadapkan orang yang mati berhijad fisabilillah lalu ditanya:
Kenapa kau terbunuh? Jawabnya: Saya telah berperang untuk menegakkan
agamaMu sehingga terbunuh. Allah s.w.t. berfirman: Dusta engkau. Dan
malaikat juga berkata: Dusta engkau, kau hanya ingin disebut sebagai
seorang pahlawan yang gagah berani dan sudah disebut sedemikian.
Kemudian
Nabi Muhammad s.a.w. memukul lututku (pahaku) sambil bersabda yang
bermaksud: "Hai Abu Hurairah, ketiga orang itulah yang pertama-tama yang
dibakar dalam api neraka pada hari kiamat." Kemudian berita itu sampai
kepada Mu'awiyah maka ia menangis dan berkata: "Benar sabda Allah s.w.t.
dan Rasulullah s.a.w.". Kemudian ia membaca ayat 15-16 surah Hud yang
berbunyi: Man kana yuridul haya wazinataha nuwaffi ilaihim a'maalahum
fiha wahum fiha la yub khosun.(15) Ulaa'ikal ladzina laisa lahum fil
aakhiroti illannar wa habitha maa shona'u fiha wabaa thiun maa kaanuu
ya'malun. (16). Yang bermaksud: Siapa yang niat dengan amalnya hanya
semata-mata keduniaan dan keindahannya maka Kami akan memberi kepada
mereka semua amalnya dan mereka didunia tidak akan dikurangi
(dirugikan).(15). Mereka itulah yang tidak mendapat diakirat kecuali api
neraka, dan gugur semua amal mereka itu, bahkan palsu semua perbuatan
mereka itu.(16).
Abdullah bin
Haanif Al-inthoki berkata: Pada hari kiamat bila seseorang mengharap
amalnya kepada Allah s.w.t. maka dijawab: Tidakkah Kami telah membayar
kotan pahalamu, tidakkah Kami telah memberi tempat padamu dalam tiap
majlis. tidakkah Kami telah terangkat sebagai pimpinan/ketua, tidakkah
telah Kami murah (mudah)kan jualbelimu (yakni selalu dapat potongan
harga jika membeli sesuatu) dan seterusnya.
Seorang
hakim telah berkata: Orang yang ikhlas ialah orang yang menyembunyikan
perbuatan kebaikannya sebagaimana menyembunyikan kejahtannya. Pendapat
yang lain pula berbunyi: Puncak ikhlas itu ialah tidak ingin pujian
orang. Dzinnun Almishri ketika ditanya: "Bilakah orang diketahui bahawa
ia termasuk pilihan Allah s.w.t."? Jawabnya: "Jika tidak meninggalkan
istirehat dan dapat memberikan apa yang ada, dan tidak menginginkan
kedudukan dan tidak mengharapkan pujian tau celaan orang. (Yakni dipuji
tidak merasa besar dan dicela tidak merasa kecil)
Ady bin
Hatim Aththa'i berkata Rasullullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: Pada
hari kiamat beberapa orang yang diperintahkan untuk membawa kesyurga dan
setelah melihat segala keindahannya serta merasakan bau harumnya maka
diperintahkan untuk dijauhkan daripadanya kerana mereka tidak ada bagian
didalamnya, maka kembali mereka dengan penjelasan yang tidak ada tara
bandingnya, sehingga mereka berkata: Ya Tuhan, andaikan Kau masukkan
kami kedalam neraka sebelum Kau perlihatkan kami pahala yang Kau
sediakan bagi para waliMu. Jawab Allah: Sengaja Aku berbuat itu kepada
kamu, kamu dahulu bila bersendirian berbuat dosa-dosa besar, dan bila
dimuka orang-orang berlagak alim sopan dan taat, kamu hanya riya',
memperlihatkan kebaikan kepada manusia, dan tidak takut kepadaKu, kamu
mengagungkan orang dan tidak mengagungkan Aku, maka kini Aku merasakan
kepada kamu kepedihan siksaKu, disamping Aku haramkan atas kamu
kebesaran pahalaKu.
Abdullah bin
Abbas r.a. berkata Rasullullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: Ketika
Allah telah melengkapi jannahtu aden dengan segala keindahan yang belum
dilihat oleh mata, dan terdengar oleh telinga dan tergerak dalam hati
(khayal) manusia, maka Allah menyuruhnya supaya berkata-kata, maka
syurga itu berkata : Qad aflahai mu'minum (3x) (Sungguh untung orang
yang beriman/percaya) Inni haram ala kulli bakhil wa munafiq wa muraa'i
(3x) (Saya diharam untuk dimasuki oleh tiap orang yang bakhil dan orang
munafiq dan orang yang berbuat riyaa).
Ali bin Abi
Thaalib r.a. berkata: "Tanda orang yang riyaa' itu ada empat yakni malas
jika bersendirian, dan tangkas jika dimuka orang, dan menambah amalnya
jika dipuji, dan mengurangi jika dicela. Syaqiq bin Ibrahim berkata:
"Benteng amal itu ada tiga iaitu Harus merasa bahawa itu hidayat dan
taufiq dari Allah s.w.t., Harus niat untuk mendapat ridha Allah s.w.t.
untuk mematahkan hawa nafsu dan Harus mengharap pahala dari Allah s.w.t.
untuk menghilangkan rasa tamak, rakus riyaa' dan dengan ketiga ini amal
dapat ikhlas kepada Allah s.w.t. Mengharap ridha Allah s.w.t. supaya
tiap amal hanya untuk yang diridha Allah s.w.t. supaya tidak beramal
terdorong oleh hawa nafsu, dan apabila amal itu kerana mengharap pahala
dari Allah s.w.t. maka tidak hirau terhadap pujian atau celaan orang.
Seorang
hakim berkata: "Seharusnya seorang yang beramal itu belajar adab dari
pengembala kambing." Ketika ditanya bagaimanakah? Jawabnya: "Pengembala
itu jika sembahyang ditengah-tengah kambingnya, sekali-kali tidak
mengharap pujian dari kambing-kambingnya, demikianlah seorang yang
beramal harus tidak menghiraukan apakah dilihat orang atau tidak."
Seorang
hakim berkata: "Untuk keselamatan suatu amal berhajat pada empat macam
iaitu pertamanya: Ilmu pengetahuan, sebab amal tanpa ilmu lebih banyak
salah daripada benarnya (tepatnya),keduanya Niat, sebab tiap amal amat
terpenting pada niatnya, sebagaimana sabda Nabi Muhammad s.a.w. :
"Sesungguhnya semua amal tergantung pada niat dan yang dianggap bagi
tiap orang apa yang ia niatkan." dan ketiga Sabar, supaya dapat
melaksanakan amal itu dengan baik dan sempurna, thuma'ninah dan tidak
keburu , keempatnya ialah Tulus ikhlas, sebab amal tidak akan diterima
tanpa keikhlasan.
Haram bin
Hayyan berkata: "Tiada seorang yang menghadap kepada Allah s.w.t. akan
menghadapkan hati orang-orang yang beriman sehingga kasih dan sayang
kepadanya." Suhail bin Shalib dari ayahnya Abu Hurairah r.a. berkata,
Nabi Muhammad s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah s.w.t.
bila cinta pada seseorang hamba berkata kepada Jibril: Sesungguhnya Aku
kasih kepada fulan, maka kau kasih kepadanya, lalu Jibril berkata
kepada semua penduduk langit: Sesungguhnya Tuhanmu kasih kepada fulan,
maka kamu harus kasih kepadanya, setelah dikasihi oleh ahli langit, maka
disebarkan rasa kasih diatas bumi, dan sebaliknya jika Allah s.w.t.
murka (benci) pada seorang hamba, demikian juga adanya."
Syaqiq bin
Ibrahim ditanya: "Bagaimana dapat mengetahui bahawa seorang yang soleh,
sebab orang mengatakan bahawa saya orang solihin?" Jawab Syaqiq:
"Tunjukkan rahsiamu pada orang-orang soleh, maka bila mereka rela pada
itu itu bererti kau soleh. Kedua, tawarkan dunia ini pada hatimu, maka
bila ia menolak, itulah tandanya kau soleh dan ketiga, tawarkan maut
kepada dirimu, maka jika ia berani dan mnegharap tanda bahawa kau orang
yang soleh, bila tidak maka bukan soleh, dan bila ada ketiga-tiganya
padamu, maka mintalah selalu kepada Allah s.w.t. jangan sampai
memasukkan riyaa' dalam semua amalmu supaya tidak rosak amalmu."
Tsabit
Albunani dari Anas bin Malik r.a. berkata bahawa Nabi Muhammad s.a.w.
bersabda yang bermaksud: "Tahukah kamu siapakah orang mukmin? Jawab
sahabat: "Allah s.w.t. dan Rasullullah lah yang lebih mengetahui."
Baginda s.a.w. bersabda: "Seorang mukmin iaitu orang yang tidak mati
sehingga Allah memenuhi pendengarannya dengan apa yang ia suka dan
andaikan seorang berbuat taat didalam rumah yang berlapistujuh puluh dan
pada tiap rumah ada pintu besi, niscaya Allah akan menampakkan amal itu
sehingga dibicarakan orang dan dilebih-lebihkan." Ditanya oleh para
sahabat: "Ya Rasulullah, bagaimana dilebih-lebihkan?" Jawab Nabi
Muhammad s.a.w. : Seorang mukmin suka bila amalnya bertambah." Kemudian
Nabi Muhammad s.a.w. pula bertanya: Tahukah kamu siapa pula yang fajir
(derhaka)?". Jawab sahabat: "Allah s.w.t. dan Rasullullah lah yang lebih
mengetahui." Bersabda Nabi Muhammad s.a.w. : "Yalah orang yang tidak
mati sehingga Allah s.w.t. memenuhi pendengarannya dengan apa yang tidak
disukai, dan andaikan seorang berbuat maksiat didalam rumah yang
berlapis tujuh puluh rumah dan masing-masing berpintu besi, niscaya
Allah s.w.t. akan memperlihatkan pakaian amal itu sehingga dibicarakan
orang dan ditambah-tambahi." Ketika ditanya: "Bagaimana ditambah, ya
Rasullullah?' Jawab Rasullullah s.a.w : "Seorang fajir suka apa yang
menambah durhakanya."
Auf bin
Abdullah berkata: "Orang-orang ahlil khoir satu sama lain berpesan tiga
kalimah: Siapa yang beramal untuk akhirat, maka Allah s.w.t. akan
mencukupi urusan dunianya, dan siapa yang memperbaiki hubugannya dengan
Allah s.w.t. maka Allah s.w.t. akan memperbaiki hubugannya dengan sesama
manusia, dan siapa yang memperbaiki hatinya maka Allah s.w.t. akan
memperbaiki lahirnya."
Hamid
Allafaf berkata: "Jika Allah s.w.t. akan membinasakan seseorang, maka
dihukum dengan tiga macam: Diberi ilmu tanpa amal, Diberi bersahabat
dengan orang-orang yang soleh tetapi tidak mengikuti jejak mereka dan
tidak beradap terhadap mereka serta ketiga diberi jalan untuk berbuat
taat tetapi tidak ikhlas."
Abul-Laits
berkata: "Itu semua kerana jelek niatnya dan busuk hatinya, sebab
sekiranya niatnya baik nescaya diberi manfaat dalam ilmunya dan ikhlas
dalam amalnya, dan menghargai kedudukan orang-orang soleh." Tambahnya
lagi: "Saya telah diberitahu oleh orang yang dapat dipercayai dengan
sanadnya dari jaballah Alyahshubi berkata: "Ketika kami bersama Abdul
Malik bin Marwan dalam suatu peperangan, tiba-tiba kami bertemu dengan
seseorang yang selalu bangun malam, bahkan tidak tidur malam kecuali
sebentar, selama itu kami belum kenal padanya, kemudian kami ketahui
bahawa ia adalah sahabat Rasullullah lalu ia bercerita kepada kami
bahawa ada seorang bertanya: "Ya Rasullullah, dengan apakah mencapai
keselamatan kelak?" Jawab Rasullullah s.a.w, "Jangan menipu Allah
s.w.t." Orang bertanya lagi: "Bagaimana menipu Allah s.w.t.?"
Rasullullah s.a.w menjawab: "Yaitu mengerjakan apa yang diperintahkan
oleh Allah s.w.t., tidak kerana Allah s.w.t. dan berhati-hatilah kamu
dari riyaa kerana ia syirik terhadap Allah s.w.t. Orang yang berbuat
riyaa pada hari kiamat akan dipanggil dimuka umum dengan empat nama: Hai
kafir, hari orang lancung, hai penipu, hai orang yang rugi, hilang
semua amalmu dan batal pahalamu, maka tidak ada bagian bagimu kini, dan
mintalah pahalamu dari orang yang kamu berbuat untuk mereka wahai
penipu." Saya bertanya lagi: "Demi Allah yang tiada Tuhan kecuali Dia,
apakah benar kau mendengar sendiri hadis ini dari Rasullullah s.a.w.?"
Jawabnya: "Demi Allah s.w.t. yang tiada Tuhan kecuali Dia, sesungguhnya
saya telah mendengar sendiri dari Rasullullah s.a.w kecuali jika saya
keliru sedikit yang tidak saya sengajakan." Kemudian ia membaca ayat:
Innal munafaiqiina yukhadi 'unallah wa huwa khaa di'uhum. Yang
bermaksud: Seseungguhnya orang munafiq itu akan menipu Allah padahal
Allah telah membalas tipu daya mereka.
Abul-Laits
berkata: "Siapa yang ingin mendapat pahala amalnya diakhirat, maka harus
beramal dengan ikhlas kerana Allah s.w.t. tanpa riyaa', kemudian
melupakan amal itu supaya tidak dirosak oleh rasa ujub (bangga diri)
sebab memang menjaga taat itu lebih berat daripada mengerjakannya."
Abu Bakar
Alwaasithi berkata: "Menejaga kebaikan taat itu lebih berat daripada
mengerjakannya sebab ia bagaikan kaca yang cepat (mudah) pecah dan tidak
dapat ditampal atau dipatri, maka tiap amal yang dihinggapi riyaa'
rosak dan tiap amal yang dihinggapi ujub (bangga diri) rosak. Maka
apabila seorang dapat menghilangkan rasa riyaa' dalam amalnya harus
berbuat yang demikian, tetapi bila tidak dapat menghilangkan maka jangan
sampai tidak beramal kerana belum dapat menghilangkan riyaa' sebaiknya
ia harus tetap beramal kemudian membaca istigfar dari pada rayaanya itu,
kemudian dilain hari Allah s.w.t. memberinya taufiq untuk ikhlas dalam
amal-amal yang lain."
Salman
Alfarisi r.a. berkata: "Allah s.w.t. menambah kekuatan orang mukmin
dengan bantuan orang-orang munafiqin dan menolong orang munafiqin dengan
doa orang-orang mukmin."
Abu-Laits
berkata: "Orang-orang berpendapat bahawa didalam fardhu tidak dapat
dimasuki riyaa', sebab melakukan kewajipan, tetapi sebenarnya dapat saja
riyaa' itu masuk kedalamnya." Tambahnya lagi: "Disini ada dua macam:
Jika ia melakukan fardhu itu semata-mata kerana riyaa' sehingga
sekiranya tidak riyaa' tidak melakukannya maka itu munafiq sepenuhnya,
termasuk dalam golongan Innal munaafiqiina faddarkil asfali minannaar.
Orang-orang
munafiq itu dalam tingkat terbawah dalam api neraka, sebab sekiranya
tauhidnya benar-benar, tentu ia selalu melakukan fardhu yang dirasa
sebagai kewajipan atas dirinya. Dan jika tetap melakukan kewajipan hanya
jika didepan orang lebih baik dan sempurna sedang jika sendirian agak
sumbang, maka ia mendapat pahala yang kurang sesuai dengan kelakuannya
yang kurang, sedang kelebihan yang dilakukan dimuka orang ramai maka ia
tidak ada pahalanya bahkan akan dituntut atasnya.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar